[VIDEO] 'Calon PM, tunggu kekuatan kerusi' - Abdul Hadi

KOTA BHARU - Pas mengakui mempunyai calon Perdana Menteri daripada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan individu berkenaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding pada pilihan raya berkenaan.

"Belum tiba masanya. Kita belum tahu lagi kerusi siapa banyak, siapa sedikit," katanya semasa sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan mengemukakan calon Perdana Menteri daripada parti itu susulan agenda untuk memimpin penyatuan ummah yang ditekankan dalam ucapan dasarnya.

**media[3636201]**

Terdahulu media melaporkan Pas perlu berperanan sebagai peneraju utama dalam usaha penyatuan ummah dan menyasarkan kerusi Perdana Menteri.

Menurut Ketua Pemuda Pas Kedah, Ilyas Ahmad, parti itu juga tidak seharusnya lagi memberi laluan kepada parti lain untuk menerajui jawatan Perdana Menteri kerana mempunyai calon berkelayakan.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Pas tampil sebagai kuasa utama dalam usaha membentuk kepimpinan di peringkat Persekutuan.